Selasa, 11 November 2008

Laptop Untuk Bisnes


EKSEKUTIF yang aktif dan sentiasa bergerak kini boleh mendapatkan di pasaran komputer riba kerja yang memiliki spesifikasi fleksibel yang menyokong bisnes bersaiz kecil hingga sederhana dan pasaran komersial.

Bukan satu, tetapi tiga pilihan komputer riba bisnes terbaru daripada NEC iaitu VERSA S970. P570 dan M370 dilengkapi dengan teknologi platform komputer stabil Intel yang menyediakan keserasian dan keselesaan dalam persekitaran jaringan kerja enterprise.

“Eksekutif yang selalu bergerak dan berulang-alik ke tempat yang jauh kini boleh bekerja dengan bebas dan menyempurnakan projek-projek tanpa berasa bimbang tentang kegagalan kuasa,” ujar Makoto Iwasaki, Pengarah Eksekutif NEC Computer Asia.

VERSA S970, yang digelar sebagai komputer riba ahli perniagaan, seberat 2.2 kilogram dengan jangka hayat bateri yang diperbaik dan pilihan melanjutkan hayat bateri sehingga tujuh jam.

Komputer riba dengan skrin lebar 14 inci dan teknologi Super Shine View (SSV) adalah ideal untuk pekerja bisnes yang kerap mengembara. Ia turut didatangkan dengan mikrofon bina dalam bagi memudahkan aktiviti tele persidangan.

“Kuasa mobiliti VERSA S970 berganding dengan kestabilan dan jangka hayat bateri yang lebih panjang menjadikan ia solusi perkomputeran yang ideal bagi pengguna bisnes yang sentiasa bergerak.

VERSA 570 dan M370 menunjukkan permintaan kepada komputer riba komersial yang disertakan dengan kamera web 1.3 megapiksel dan antara muka yang mesra pengguna.

Ketiga-tiga model ini dilengkapi dengan rekaan sekuriti data. Ia juga beroperasi dengan opsyen identifikasi BIO cap jari, yang menggantikan kata laluan, sekali gus hanya membenarkan mereka yang berautoriti sahaja untuk mengakses data.

“Komputer-komputer riba ini direka khusus untuk ekesekutif yang mementingkan keselamatan data dan keselesaan,”

Dari segi prestasi tinggi, VERSA P570 dilengkapi dengan cip grafik NVIDIA®GeForce® 8400M GS Graphic Chipset yang membolehkan sistem untuk menjalankan pembentangan bisnes.

S970, P570 dan M370 telah melalui pelbagai ujian dan penilaian alam sekitar. Fungsi komputer ribanya berjalan dengan baik dalam kondisi cuaca berbeza dan tahan impak biasa yang disebabkan oleh kekerapan mobiliti.

Ketiga-tiganya sudah berada di pasaran negara ini. Komputer riba model S970 berharga RM3,999, M370 RM2,999 dan P570 RM4,299.

Dalam perkembangan yang lain, NEC Computers Asia Pacific (NECCAP) baru-baru ini mengumumkan pelantikan presiden syarikatnya yang baru iaitu Kiyotaka Matsubara. Matsubara akan berpangkalan di Pulau Pinang menggantikan Hiroyuki Masuda bakal meneruskan peranan sebagai pengerusi. Pelantikan itu dibuat bagi memantapkan lagi pengurusan NECCAP.

Matsubara telah bersama NEC Jepun selama lebih tiga dekad.

Ahad, 7 September 2008

NOKIA E61i - Bagaikan komputer riba


DENGAN kelebaran 70 milimeter, model E61i Nokia memberikan pengalaman baru kepada penulis dalam penggunaan telefon bimbit. Ia nyata berbeza dengan telefon bimbit yang biasa penulis gunakan yang lazimnya dapat digenggami penuh tangan.

Fungsi dan kondisi fizikalnya memungkinkan penulis menganggapnya seperti komputer riba. Bersifat mudah alih, pad kekunci berwarna peraknya juga disusun seperti pada komputer iaitu versi QWERTY.

Kekunci navigasinya berada di tengah telefon bimbit dan di kiri serta kanannya terdapat beberapa kekunci pintas untuk ke menu, buku telefon, mesej dan sebagainya.

Penulis melihat telefon ini ideal bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia bisnes, seperti juga telefon bimbit E65 yang pernah direviu di laman ini. Skrin lebarnya memberikan kepuasan ketika menatap emel dan melayari internet menerusi 3G.

Bukan bersandar kepada skrin lebarnya semata-mata, pengalaman beremel diperbaik dengan protokol emel dilanjutkan kepada POP/IMAP dan SMTP. Anda juga boleh membuka emel yang dilampirkan bersama lampiran dengan perisian Quickoffice, ZIP Manager dan Adobe Acrobat Reader.

Nokia E61i menyokong solusi korporat emel mudah alih seperti Nokia Intellisync Wireless Email, Good Mobile Messaging, Mail for Exchange, Seven Mobile Mail dan Blackberry Connect serta kebanyakan solusi emel pengguna yang popular.

Telefon bimbit yang didapati dalam warna Mocca ini juga dilengkapi dengan Bluetooth, inframerah dan WLAN. Perkhidmatan digital di udara (OTA) membolehkan ia memuat turun nada dering, emel, WAP, MMS dan logo operator.

Apabila hendak berhibur, anda boleh mendengar lagu-lagu kegemaran di perpustakaan lagu anda. E61i menerima audio berformat AAC, MP3, MP4, MIDI and SP-MIDI. Anda bahkan boleh mengawal volume suara dengan menekan kekunci yang terdapat di sisi kanan telefon bimbit. Kekunci rakaman suara turut berada di sisi yang sama.

Anda juga boleh mengambil gambar dan merakamkan video saat-saat penting dalam hidup anda dengan menggunakan kamera beresolusi 2 megapikselnya.

Telefon bimbit ini dilengkapi dengan memori bina dalam 60 megabait dan menerima memori luaran microSD sehingga 2 gigabait.

Selain itu, telefon berharga RM1,799 ini dilengkapi fungsi-fungsi lain seperti kalkulator, kalendar, nota, pembaca mesej, penukar unit dan cetakan menggunakan teknologi tanpa wayar Bluetooth.

Jumaat, 5 September 2008

Sony Ericsson T250i - Ringkas, murah, bergaya


PENULIS mula mengetahui kewujudan telefon bimbit Sony Ericsson T250i menerusi sebuah iklan radio lewat Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Dalam iklan tersebut menggambarkan bagaimana seorang lelaki begitu tertarik dengan gaya yang dipamerkan telefon berkenaan yang dimiliki rakannya. Benar, rupa parasnya memang menarik perhatian.

Mewarisi gaya dan kecantikan persis model-model T yang lain, Sony Ericsson T250i didatangkan dalam dua varian iaitu perak dan hitam. Telefon bimbit yang direviu penulis adalah berwarna perak.

Dengan kemasan aluminium berwarna perak, pancaran gayanya menyerlah. Di bahagian tengah hadapan telefon bimbit terdapat satu kekunci berbentuk empat segi besi yang sederhana besar yang berkilauan.

Tentu sekali ia bukan sahaja berkenaan gaya. Telefon bimbit berdimensi 100 x 45 x 13 milimeter ini juga dilengkapi dengan radio binaan dalam. Pengguna boleh mendengar radio dengan memasang headset yang disediakan bersama pembelian. Menariknya, pencarian frekuensi radio menjadi mudah kerana setiap kali ‘jarum’ terletak pada satu-satu frekuensi radio di atasnya tertera sekali nama stesen radio! Suatu yang tidak dijangka penulis. Penulis membayangkan, pasti tidak akan sukar untuk ‘mengesan’ frekuensi radio kegemaran ketika bertugas di luar kawasan.

Telefon bimbit skrin warna ini juga dilengkapi dengan kamera. Walaupun hanya dengan 0.3 megapiksel, telefon bimbit ini pasti membolehkan anda menyimpan kenangan saat-saat bahagia anda. Anda juga boleh berkongsi foto bersama sahabat dan keluarga anda menerusi MMS.

Telefon bimbit ini mungkin tidak secanggih atau sehebat telefon model T yang lain, umpamanya T650i, yang dilengkapi pelbagai perkhidmatan dan ciri sementelah harganya pun mencecah ribuan. Tetapi, pada harga tidak sampai RM500, walaupun bersifat ringkas, T250i mampu memberikan kepuasan.

Sekurang-kurangnya, anda masih boleh memilih tema telefon bimbit menerusinya, satu ciri yang anda juga boleh kecapi pada telefon bimbit model T650i.

Kerana harganya yang tidak membebankan, barangkali ia sesuai untuk golongan pelajar atau dijadikan individu sebagai telefon tambahan.

Antara ciri-ciri lain yang dimiliki telefon bimbit seberat 82 gram ini ialah inframerah, memori dalaman 2 megabait, pembesar suara, internet WAP 1.2.1, jam penggera, kalkulator, memo dan kalendar.